Saturday, December 19, 2009

Analogi Kunci Kepada Kehidupan



Dalam kehidupan ada pasang surutnya, ada masa kita dikurniakan nikmat dan adakalanya kita ditimpa musibah atau ujian. Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas ujian dari Yang Maha Esa hatta seorang pun. Kadangkala kita terlupa apakah tujuan sebenarnya ujian-ujian yang menimpa ke atas kita. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Dengan maksud lain, ada hikmah mengiringinya.

Apa yang ingin disentuh di sini ialah salah cara atau kaedah untuk memandu minda dan jasad dalam menghadapi ujian atau musibah agar tidak terbabas dari landasan keimanan. Bak kata pepatah, 'Langkah yang seribu tidak akan bermula melainkan dengan adanya langkah pertama.

Dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, kita rujuk kepada analogi kunci. Kita diumpamakan seperti seorang yang ingin membuka sebuah pintu yang berkunci dan kita diberikan segugus anak kunci yang mengandungi 1000 anak kunci. Pintu yang berkunci itu diibaratkan sebagai masalah yang sedang dihadapi. Justeru itu, untuk membuka pintu yang berkunci itu memerlukan kita mencuba kesemua gugusan anak kunci itu secara satu persatu.

Persoalannya di sini, sejauh manakah kita mampu untuk membuka pintu tersebut sedangkan kita mempunyai segugus anak kunci yang berjumlah 1000? Hanya dengan keyakinan, doa dan tawakkal? Bahkan, kita memerlukan jua usaha untuk membukanya.

Keyakinan bahawa pintu tersebut boleh dibuka akhirnya jika kita cuba membuka dengan satu
persatu anak kunci tersebut. Di samping itu, keyakinan bahawa Allah s.w.t hanya akan melihat kepada usaha lebih dari keputusan juga perlu ditanamkan di dalam hati. Usaha yang berterusan juga perlu dan tidak mudah putus asa. Tidak lemah dalam perjuangan.

Kembali kepada analogi tadi, kita akan merasai betapa sukarnya jika kita cuba membuka kunci tersebut dengan kunci pertama. Tetapi perlulah diingat, semakin lama kita mencuba semakin tinggi kebarangkalian untuk pintu tersebut dapat dibuka, Insyallah. Manakan sama kebarangkalian untuk pintu itu dibuka apabila kunci pertama dibuka (1/1000), berbanding dengan kunci terakhir yang dibuka (999/1000).

Maka, ingatlah setiap ujian dan kesusahan andai kita mencuba secara berterusan dan istiqamah dalam usaha, Insyallah, perkara yang kita hadapi semakin mudah.

No comments:

Post a Comment